4 September 2012

Contoh Karangan " Punca-punca Berlakunya Penderaan Kanak-kanak"



Marcapada ini, sering meniti dari bibir ke bibir seantero rakyat Malaysia mengenai kes penderaan kanak-kanak yang semakin mencatatkan angka yang membimbangkan. Bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Media massa tidak pernah terlepas daripada memaparkan isu penderaan yang sering dilakukan oleh ibu bapa kandung anak itu sendiri. Mengapakah fenomena ini berlaku? Wajarkah kita menyalahkan anak-anak yang tidak tahu apa-apa dalam hal ini? Terdapat beberapa faktor yang boleh kita kaitkan dengan kes penderaan kanak-kanak.

Tekanan di tempat kerja merupakan salah satu pemangkin berlakunya kes penderaan kanak-kanak. Bagi ibu bapa yang bekerja, mereka pastinya menghadapi tekanan di tempat kerja. Ibu bapa yang tidak dapat mengawal emosi mereka akan menjadikan anak-anak sebagai medium melepaskan geram dan tekanan yang mereka hadapi. Ibu bapa yang tidak berfikir panjang berisiko tinggi melakukan kes penderaan ke atas anak-anak seperti menerajang, mencucuk puntung rokok atau sebagainya. Patutkah anak-anak yang tidak berdosa ini diperlakukan seperti binatang? Tepuk dada tanyalah selera.

Kes penderaan kanak-kanak turut ditunjangi oleh faktor tekanan ekonomi yang dihadapi oleh para orang tua. Kes hidup yang semakin meningkat pada masa ini, memaksa golongan ini berhutang demi memastikan kelangsungan hidup seisi keluarga. Masalah yang kewangan sering berlaku menyebabkan para ibu bapa berasa terbeban. Semua ini dilepaskan kepada sang kecil yang saat itu membutuhkan kasih sayang daripada kedua-dua insan mulia ini. Keadaan ini pasti menyedihkan sesiapa sahaja yang mendengar kes penderaan ini. Anak yang sepatutnya diberi perlindungan dan dibelai oleh ibu bapa, kini menjadi mangsa sepak terajak mereka yang terbeban dengan krisis kewangan yang dihadapi.

Kurangnya didikan gama dalam kalangan ibu bapa turut menyumbang kepada berlakunya masalah penderaan kanak-kanak. Ilmu agama merupakan tunggak utama yang menjamin kepada keutuhan serta perpaduan sesebuah institusi kekeluargaan. Ia juga memberi panduan yang terbaik dalam menguruskan keluarga. Bengkok bayang bengkoklah batangnya. Kedangkalan ilmu agama akan menyebabkan sesebuah keluarga itu dipandu  dengan cara yang kontra dengan didikan agama. Hal ini yang menyebabkan terdapat segelintir ibu bapa yang menghukum anaknya sehingga meninggalkan kesan seperti luka, lebam dan mungkin juga berlaku pendarahan dalam otak. Di sini kita dapat lihat betapa didikan agama mementaskan peranan yang signifikan dalam kehidupan seharian kita.

Intihanya, penderaan kanak-kanak merupakan suatu tindakan yang keji dan sangat ditegah oleh mana-mana agama pun. Semua pihak harus bekerjasama menggalas obligasi membendung fenomena ini demi mewujudkan masyarakan madani menjelang tahun 2020. Kanak-kanak hari ini harus dipelihara dan diberikan sepenuh perhatian keranan mereka merupakan aset dan pewaris negara yang akan menerajui tampuk kepimpinan negara di hari muka. Oleh itu, hargailah anugerah Ilahi yang tidak ternilai ini.


12 Jun 2012

Contoh Karangan "Kesan Pembalakan Haram"


Hutan merupakan khazanah dunia yang amat bernilai. Hutan telah membekalkan negara kita dengan pelbagai sumber seperti kayu-kayan dan ubat-ubatan. Malaysia juga terkenal dengan keindahan alam semulajadinya yang sentiasa menjadi daya penarik kepada pelancong-pelancong asing. Walaupun hutan telah membantu negara mempelbagaikan sumber ekonominya, namun akhir-akhir ini, hutan menghadapi ancaman kemusnahan daripada pihak-pihak yang tamak dan hanya mementingkan kekayaan semata-mata. Peningkatan aktiviti pembalakan haram bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan telah menyaksikan dampak yang ketara kepada negara. Jika masalah ini tidak ditangani, sudah tentu kita akan menghadapi 1001 masalah di hari muka.

Pembalakan haram mampu menyumbang keapada terjadinya bencana alam. Pembalakan yang tidak terkawal akan menjadikan permukaan bumi gondol dan terdedah kepada hakisan. Bahan yang terhakis akan dibawa dan dimendapkan di dasar sungai. Hal ini menyebabkan sungai menjadi cetek. Apabila hujan lebat, sungai tidak mampu menampung air yang banyak lalu ia melimpah ke kawasan sekitar. Banjir yang sering kali memusnahkan perkampungan orang asli mengakibatkan kehidupan masyarakat ini diambang penderitaan. Adat bernegeri memagar negeri, adat berkampung memagar kampung. Kita tidak seharusnya mementingkan diri sendiri. setiap tindakan yang kita ambil pastinya akan memberi impak keapada orang lain.

Selain itu, kemusnahan habitat flora dan fauna juga merupakan kesan aktiviti pembalakan haram. Umum mengetahui bahawa hutan merupakan tempat tinggal semula jadi bagi pelbagai jenis tumbuhan dan spesies haiwan liar. Kemusnahan hutan bermaksud musnahnya tempat tinggal hidupan-hidupoan yang tinggal didalamnya. Jika tiada tindakan yang diambil bagi mengawal kegiatan manusia yang tidak bermoral ini, nescaya perkara yang lebih teruk lagi akan berlaku. Contohnya, kepupusan sesuatu spesies hidupan. Justeru, langkah yang proaktif perlu lah dilaksanakan bagi mengelakkan perkara yang lebih parah lagi daripada berlaku. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Jangan biarkan cucu-cicit kita tertanya-tanya, apa itu orang utan, harimau gajah, dan burung kakak tua.


Di samping itu, pembalakan haram turut mengakibatkan peningkatan suhu di negara kita.  Aktiviti pembalakan haram akan meningkatkan kandungan gas karbon dioksida dalam udara. Gas ini mampu memerangkap haba di atmosfera daripada dipantulkan semula. Fenomena inilah yang menyebabkan peningkatan suhu persekitaran. Keadaan menjadi bertambah teruk apabila kurangnya tumbuhan yang menyerap gas ini. Selain peningkatan suhu, fenomena ini turut mengakibatkan kesan rumah hijau dan perubahan suhu setempat. Oleh yang demikian, kita perlulah menghargai anugerah ciptaan tuhan yang tidak ternilai harganya ini. Mampukah kita hidup selesa dalam keadaan yang panas sebegini? Tepuk dada, tanya selera.

Selain berfungsi sebagai peparu bumi, hutan juga bertindak seperti span di kawasan tadahan hujan. Aktiviti manusia menebang pokok-pokok akan menjejaskan kawasan tadahan hujan di tanah tinggi. Hal ini akan mengurangkan kadar serapan dan penyimpanan air dalam tanih sekaligus menjejaskan bekalan air. Keadaan ini mendatangkan kebejatan kepada penduduk sekitar. Tamsilnya, krisis air yang pernah berlaku di Lembah Klangdan Melaka menyebabkan aktiviti harian penduduk seperti memasak, mandi dan membasuh pakaian terganggu. Oleh itu, kita seharusnya sedar akan kepentingan hutan dalam kehidupan kita. Sikap bagaikan enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing hanya akan memberi kemudaratan kepada kita.

Intihanya, kita harus berkolaborasi bagi membendung kegiatan ini daripada terus meragut keindahan alam ciptaan ilahi. Pihak kerajaan haruslah mengambil tindakan yang tegas terhadap pesalah yang didapati menjalankan kegiatan pembalakan haram. Orang awam pula hendaklah melaporkan sebarang pergerakan kenderaan pengangkut balak yang mencurigakan. Dengan adanya kerjasama bagaikan aur dan tebing, sudah pasti masalah ini dapat diatasi. Seperkara lagi, kita perlulah ingat bahawa kita tidak mewarisi bumi ini daripada nenek moyang kita, tetapi kita hanya meminjamnya daripada anak cucu kita.

2 April 2012

Contoh Karangan "SEKOLAH HARMONI"



Apakah itu sekolah harmoni? Sekolah harmoni ialah sekolah yang bersuasanakan aman, damai dan tenteram yang sesuai dijadikan latar tempat kepada sesebuah sesi pembelajaran. Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal. Semua orang pastinya tidak akan menolak, jika mereka diberi peluang untuk belajar dan mengajar di sekolah seperti ini. Dalam mewujudkan sekolah harmoni, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada kewujudan sekolah ini.

            Sekolah harmoni memerlukan suasana pembelajaran yang kondusif. Kondusif di sini membawa erti persekitaran yang sesuai untuk pembelajaran. Setiap pelajar tentunya memerlukan kemudahan seperti meja, kerusi, buku-buku rujukan dan sebagainya. Pusat sumber merupakan salah satu tempat yang sangat strategik sebagai kawasan pembelajaran kerana ia menyediakan suasana yang sangat diperlukan oleh para pelajar. Maka itu, keadaan ini menjadi komponen utama kepada sesebuah sekolah harmoni.

            Selain itu, persekitaran sekolah yang bersih dan ceria juga merupakan salah satu faktor kewujudan sekolah harmoni. Apabila persekitaran kita sentiasa dijaga dengan baik, sudah tentu kita tidak akan menerima sebarang masalah yang akan mengganggu kita. Namun begitu, jika hal sebaliknya yang berlaku, terdapat pelbagai gangguan yang akan kita hadapi dan menyebabkan emosi kita terganggu sekaligus menjejaskan niat kita untuk menuntut ilmu. Sebagai contoh, semak samun,  sampah sarap, bau busuk, longkang yang tersumbat, gangguan haiwan perosak seperti tikus dan sebagainya. Sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk. Oleh itu, semua warga sekolah hendaklah bersama-sama menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi mengelakkan hal ini daripada berlaku.

            Di samping itu, sekolah harmoni juga tidak mempunyai sebarang kes disiplin yang melibatkan pelajar seperti kes buli, ponteng kelas, vandalisme, gangsterisme dan banyak lagi. Keadaan ini bukan sahaja mengundang nama buruk sekolah, tetapi ia juga menyebabkan terdapat segelintir pelajar berasa takut untuk menghadirkan diri ke sekolah. Ini secara langsung, mencemarkan keharmonian sesebuah sekolah. Oleh itu, disiplin merupakan tunjang kepada keharmonian sekolah.

            Selain disiplin, sikap kerjasama dalam kalangan warga sekolah juga merupakan salah satu tunjang sesebuah sekolah harmoni. Bagaikan pahat dengan penukul. Semua warga sekolah perlu berkolaborasi dalam menjayakan misi mewujudkan sekolah harmoni. Masalah kesalahfahaman di antara kaum, masyarakat dan agama haruslah dielakkan. Bagi merapatkan tali silaturrahim, banyak aktiviti yang dapat dilakukan seperti bergotong-royong. Dengan itu, tanpa adanya sikap kerjasama, sudah pasti keharmonian tidak dapat dicapai.

            Tuntasnya, agak sukar untuk mewujudkan sekolah harmoni jika tiada persefahaman di antara seluruh komuniti sekolah. Pelajar, ibubapa, guru-guru mahupun pekerja-pekerja am haruslah berganding bahu untuk melestarikan seruan kerajaan untuk mewujudkan sekolah-sekolah harmoni di Malaysia sekaligus melahirkan modal insan berminda kelas pertama melalui sekolah harmoni.