4 September 2012

Contoh Karangan " Punca-punca Berlakunya Penderaan Kanak-kanak"



Marcapada ini, sering meniti dari bibir ke bibir seantero rakyat Malaysia mengenai kes penderaan kanak-kanak yang semakin mencatatkan angka yang membimbangkan. Bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Media massa tidak pernah terlepas daripada memaparkan isu penderaan yang sering dilakukan oleh ibu bapa kandung anak itu sendiri. Mengapakah fenomena ini berlaku? Wajarkah kita menyalahkan anak-anak yang tidak tahu apa-apa dalam hal ini? Terdapat beberapa faktor yang boleh kita kaitkan dengan kes penderaan kanak-kanak.

Tekanan di tempat kerja merupakan salah satu pemangkin berlakunya kes penderaan kanak-kanak. Bagi ibu bapa yang bekerja, mereka pastinya menghadapi tekanan di tempat kerja. Ibu bapa yang tidak dapat mengawal emosi mereka akan menjadikan anak-anak sebagai medium melepaskan geram dan tekanan yang mereka hadapi. Ibu bapa yang tidak berfikir panjang berisiko tinggi melakukan kes penderaan ke atas anak-anak seperti menerajang, mencucuk puntung rokok atau sebagainya. Patutkah anak-anak yang tidak berdosa ini diperlakukan seperti binatang? Tepuk dada tanyalah selera.

Kes penderaan kanak-kanak turut ditunjangi oleh faktor tekanan ekonomi yang dihadapi oleh para orang tua. Kes hidup yang semakin meningkat pada masa ini, memaksa golongan ini berhutang demi memastikan kelangsungan hidup seisi keluarga. Masalah yang kewangan sering berlaku menyebabkan para ibu bapa berasa terbeban. Semua ini dilepaskan kepada sang kecil yang saat itu membutuhkan kasih sayang daripada kedua-dua insan mulia ini. Keadaan ini pasti menyedihkan sesiapa sahaja yang mendengar kes penderaan ini. Anak yang sepatutnya diberi perlindungan dan dibelai oleh ibu bapa, kini menjadi mangsa sepak terajak mereka yang terbeban dengan krisis kewangan yang dihadapi.

Kurangnya didikan gama dalam kalangan ibu bapa turut menyumbang kepada berlakunya masalah penderaan kanak-kanak. Ilmu agama merupakan tunggak utama yang menjamin kepada keutuhan serta perpaduan sesebuah institusi kekeluargaan. Ia juga memberi panduan yang terbaik dalam menguruskan keluarga. Bengkok bayang bengkoklah batangnya. Kedangkalan ilmu agama akan menyebabkan sesebuah keluarga itu dipandu  dengan cara yang kontra dengan didikan agama. Hal ini yang menyebabkan terdapat segelintir ibu bapa yang menghukum anaknya sehingga meninggalkan kesan seperti luka, lebam dan mungkin juga berlaku pendarahan dalam otak. Di sini kita dapat lihat betapa didikan agama mementaskan peranan yang signifikan dalam kehidupan seharian kita.

Intihanya, penderaan kanak-kanak merupakan suatu tindakan yang keji dan sangat ditegah oleh mana-mana agama pun. Semua pihak harus bekerjasama menggalas obligasi membendung fenomena ini demi mewujudkan masyarakan madani menjelang tahun 2020. Kanak-kanak hari ini harus dipelihara dan diberikan sepenuh perhatian keranan mereka merupakan aset dan pewaris negara yang akan menerajui tampuk kepimpinan negara di hari muka. Oleh itu, hargailah anugerah Ilahi yang tidak ternilai ini.


2 ulasan:

  1. Terima kasih. Karangan ni membantu saya menyiapkan kerja sek.

    BalasPadam